UBD, CQU perkukuh kerjasama akademik, penyelidikan



​​


Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam



TUNGKU LINK, Khamis, 29 Januari. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Chongqing University (CQU) secara rasmi memperkukuh kerjasama institusi melalui pemeteraian satu Memorandum Persefahaman (MoU), baru-baru ini.


MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle dan Naib Presiden CQU, Profesor Dr. Jun Yang.'


Majlis penandatanganan turut disaksikan oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Kelestarian) UBD, Dr. Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi serta Timbalan Setiausaha Agung University Network of Research Cooperation (iUNRC), Timbalan Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Timbalan Dekan Institut Pembangunan Sains dan Teknologi, CQU, Profesor Dr. Hui Xie.


Pemeteraian MoU ini menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan institusi antara UBD dan CQU, sekali gus mengukuhkan komitmen bersama dalam memajukan kecemerlangan akademik, kerjasama penyelidikan dan penglibatan antarabangsa.


MoU ini menyediakan rangka kerja yang menyeluruh bagi kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, termasuk pertukaran akademik, inisiatif penyelidikan bersama serta aktiviti kolaboratif yang menyokong inovasi dan pembangunan kapasiti.


Perkongsian ini mengukuhkan usaha kolaboratif dan mencerminkan aspirasi kedua-dua universiti untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan mampan, penyelidikan berorientasikan masa depan dan rangkaian pengetahuan global.


MoU ini turut menegaskan komitmen berterusan UBD dalam memperluaskan perkongsian global serta memperkukuh peranannya sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka di rantau ini, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.


Close